AGENDA

BWF pandang serius isu pemain terbabit judi, atur perlawanan

5 Ogos 2019, 2:23 PM
BWF pandang serius isu pemain terbabit judi, atur perlawanan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memandang serius laporan berhubung pemain yang terbabit dengan aktiviti judi dan mengatur perlawanan.

Setiausaha Kehormat BWF, Thomas Lund berkata, badan itu memandang isu berkenaan sama serius seperti kes doping, dan menggesa pemain badminton di seluruh dunia supaya menjauhinya.

“Kita ada program menyeluruh anti-doping, dan perkara yang sama kita lakukan dengan kes manipulasi perlawanan, yakni menggunakan pendekatan berbeza.

“Kita bersemuka dengan pemain, jurulatih, tetapi itu tidak bermakna mereka berbuat sesuatu yang salah, cuma kita nak tahu apa yang sedang berlaku atau dengar cerita sepenuhnya.

“Kita cuma mahu pastikan para atlet tahu kita sedang memerhati dan sedar ada sesuatu yang ‘tidak kena’ sedang berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ibu pejabat BWF hari ini.

Sebuah portal sukan baru-baru ini melaporkan dua pemain badminton kebangsaan dibebani masalah hutang selepas meminjam wang daripada Ah Long untuk berjudi.

Menurut laporan itu, dua pemain badminton dipercayai gagal melunaskan hutang mereka dengan Ah Long yang didakwa menjangkau sehingga ratusan ribu selepas terbabit dengan judi bola sepak.

Susulan laporan itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memanggil kedua-dua pemain yang nama mereka dirahsiakan itu, untuk disoal siasat.

BAM menafikan dakwaan laporan berkenaan, namun mengakui memberikan kerjasama kepada BWF dalam siasatan mereka.

Lund bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu masih dalam siasatan BWF.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619