AGENDA

Lif jatuh: Jabatan Keselamatan tolak unsur vandalisme

5 Ogos 2019, 10:51 AM
Lif jatuh: Jabatan Keselamatan tolak unsur vandalisme

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menolak unsur vandalisme dalam kejadian sebuah lif berhenti mengejut di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.

Ketua Pengarah JKKP, Ir Omar Mat Piah berkata, siasatan jabatan itu kini menjurus kepada isu data teknikal yang menyebabkan lif itu bergerak lebih laju daripada biasa.

“Lif di PPR Kerinchi nampak 'ok' dan memang diselenggara mengikut jadual serta standard keselamatan yang ditetapkan.

“Daripada segi vandalisme kita boleh 'eliminate' sebab pintu lif ni sentiasa tertutup dan kalau nak buka mesti ada kunci khas.

"Di bahagian bilik motor juga hanya orang berkenaan sahaja boleh masuk,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan 3 Juta Manhours Without Loss Time Injury di sini, hari ini.

Majlis itu memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua kakitangan JKKP Ibu Pejabat yang mencapai sifar kemalangan bermula dari 2003 hingga 2018.

Pada masa sama, Omar berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat yang boleh membantu JKKP membuat analisis.

“Jadi, sekarang ini kita sedang kumpul data kenapa lif itu bergerak lebih laju daripada biasa tetapi tidaklah terlalu laju sampai lif berkenaan mengaktifkan gear khas.

“Dalam lif ni banyak kawalan keselamatan tetapi kita kena tahu lif ini buatan manusia, akan ada masalah dan dari situ kita mahu dapatkan data untuk analisis lanjut,” katanya.

Dalam kejadian di PPR Kerinchi pada 2 Ogos lalu, lapan individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lif di pangsapuri berkenaan mengalami kegagalan sebelum berhenti di tingkat lima.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619