AGENDA

Masalah teknikal punca pendaratan cemas Nuri

3 Ogos 2019, 12:34 PM
Masalah teknikal punca pendaratan cemas Nuri
Masalah teknikal punca pendaratan cemas Nuri

JOHOR BAHRU, 3 OGOS: Insiden pendaratan cemas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan Kem Gubir dekat Kedah, petang semalam, dipercayai berpunca daripada kerosakan mekanikal.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang berkata, masalah mekanikal yang dikesan berlaku pada bahagian sawat kipas helikopter berkenaan.

Affendi berkata, kipas rotor dipercayai tidak dapat mengekalkan kelajuannya sekali gus menyebabkan pesawat berkenaan kekurangan tenaga untuk terbang lebih tinggi.

"Kami belum dapat spesifik lagi, tapi daripada diskripsi juruterbang atau kapten pesawat, ia berkemungkinan disebabkan masalah mekanikal…rotor kipas tidak dapat kekalkan kelajuan.

"Itu yang kami tahu dan mungkin selepas selesai siasatan lebih lanjut baru kami akan dapat lebih terperinci lagi," katanya.

Affendi berkata demikian kepada pemberita selepas tamat Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Menurutnya, TUDM kini menggantung sementara operasi helikopter Nuri sehingga keputusan siasatan punca sebenar diperoleh.

"Apa-apa pun, keputusan akan dibuat selepas lembaga penyiasatan membuat rumusan dan keputusan," katanya.

Affendi dalam pada itu turut memaklumkan, TUDM masih menggunakan khidmat lapan pesawat Nuri yang diperoleh sejak 1970-an yang beroperasi di Skuadron Kuching, Sarawak dan Butterworth, Pulau Pinang.

Semalam, TUDM dalam kenyataan berkata kejadian berlaku ketika pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth itu sedang membawa empat anak kapal serta 11 anggota Tentera Darat Malaysia dan sedang melaksanakan penerbangan untuk misi ulang bekal.

Semua anak kapal serta penumpang helikopter selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mereka diberi rawatan oleh pasukan perubatan tentera yang bertugas di kem tersebut, menurut kenyataan terbabit.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619