AGENDA

Pertemuan pembangkang dengan PM bersifat peribadi - Annuar

3 Ogos 2019, 12:17 PM
Pertemuan pembangkang dengan PM bersifat peribadi - Annuar

KOTA BHARU, 3 OGOS: Pertemuan beberapa pemimpin pembangkang dari UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dianggap bersifat peribadi, bukan rasmi untuk parti, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pimpinan Majlis Tertinggi UMNO sudah membuat keputusan, segala perkara yang bersifat rasmi diserahkan kepada presiden parti sahaja.

"Selain Presiden, semua perkara berkait dengan perjumpaan ia dianggap dilakukan atas sifat peribadi masing-masing dan kita sudah menyemak dengan GPS dan PAS, pertemuan itu sebenarnya mereka dipanggil, bukan mereka pergi jumpa.

"Saya fikir barangkali Tun (Mahathir) mahu bertanya khabar dan meninjau-ninjau serta bertukar pandangan.. itu tiada masalah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2019 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor di sini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalannya Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad, Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh dan Pengerusi MCA Negeri, Chua Hock Kuan.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir dua hari lepas yang mengesahkan beberapa pemimpin pembangkang dari UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertemu beliau pada Selasa lalu.

Menurut Annuar, perjumpaan dengan Perdana Menteri seperti itu adalah biasa bagi pemimpin di negara ini.

"Kita dengan Perdana Menteri, kita selalu jumpa dan bagi saya itu tidak ada isu," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619