BERITA UTAMA

Bekalan air dijangka pulih 6 pagi esok

22 Jul 2019, 10:26 AM
Bekalan air dijangka pulih 6 pagi esok

KUALA SELANGOR, 22 JUL: Bekalan air dijangka kembali pulih di tiga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor bermula jam 6 pagi esok.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya menjangkakan bekalan air akan pulih mencecah 30 peratus menjelang jam dinyatakan.

Katanya, bagi tujuan membantu mengurangkan beban pengguna, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menggerakkan 97 tangki air termasuk 34 'jumbo tanker' hasil kerjasama dengan negeri lain serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"16 Pusat Khidmat Setempat dan 17 Pili Air Awam juga telah diaktifkan di sekitar kawasan terbabit.

"Air Selangor sedang bertungkus-lumus memulihkan bekalan air kepada pengguna berkaitan," katanya dalam sidang media di LRA SSP2 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal-Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Shuhaimi Kamarulzaman.

Terdahulu, dilaporkan empat LRA terpaksa ditutup berikutan berlakunya pencemaran yang disyaki akibat perbuatan sabotaj.

Daripada itu sebanyak 1,133 kawasan membabit 1,166,842 akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sekali lagi terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual bermula hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan bekalan ini adalah insiden kedua dalam tempoh tiga hari membabitkan penutupan empat LRA yang menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan.

Katanya, pelanggan terjejas termasuk di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619