BERITA UTAMA

PEMADAM serius tangani lokasi tumpuan penagihan dadah

10 Jul 2019, 9:49 AM
PEMADAM serius tangani lokasi tumpuan penagihan dadah
PEMADAM serius tangani lokasi tumpuan penagihan dadah

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 10 JULAI: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor mengenal pasti 15 kawasan tumpuan di negeri ini yang dipercayai menjadi lokasi penagihan dadah dalam kalangan remaja.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kebanyakan lokasi tumpuan membabitkan kawasan miskin bandar kerana dipengaruhi budaya setempat dan penagihan berulang.

“Selain itu, kita dapati masalah penagihan baharu terdiri daripada remaja sekolah berumur dari 12 hingga 15 tahun. Ini memang fakta yang kita ada.

"Walaupun belum banyak tetapi saya takut hal ini merebak dan kita mulakan (aktiviti kesedaran) dari semasa ke semasa.

“Saya tahu ini bukan kerja satu tahun tetapi kita kena lawan dengan pendekatan sedikit berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Sayangi Generasiku PEMADAM peringkat Kuala Selangor 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor.

Amirudin berkata, kewujudan penagih baharu dalam kalangan remaja dibimbangi akan mendorong mereka melakukan perkara luar batasan seperti membunuh.

Katanya, lebih membimbangkan budaya penagihan dadah itu dilihat sudah menular di peringkat sekolah rendah berbanding sekolah menengah dan universiti sebelum ini.

"Lebih membimbangkan, perkembangan teknologi semasa digunakan dalam proses pembuatan dadah sintetik yang lebih memberikan kesan serius berbanding sebelum ini.

“Masalah (dadah) ini mula merebak bukan hanya sekolah menengah, mutakhir di sekolah rendah, yang merupakan satu cabaran kepada institusi pendidikan dan pembentukan modal insan.

“Masa depan kita akan hilang dan musnah termasuk semua yang digagaskan datuk serta nenek kita dahulu jika kita tidak bersama menangani dan berdepan masalah dadah yang semakin hari semakin mencabar,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619