NASIONAL

PLUS tunggu keputusan kerajaan ambil alih konsesi

25 Jun 2019, 10:13 AM
PLUS tunggu keputusan kerajaan ambil alih konsesi

PETALING JAYA, 25 JUN: Penyedia perkhidmatan lebuh raya terbesar negara ini, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bersedia untuk meneliti semula perjanjian konsesi sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengambil alih lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, ini sejajar dengan kedudukan PLUS sebagai sebuah syarikat konsesi yang telah memeterai perjanjian terbabit dengan kerajaan.

"Jika kerajaan mahu mengubahnya (perjanjian), maka kita akan meneliti (cadangan) mengikut perjanjian terbabit.

"Kita perlu menunggu apa yang kerajaan mahu tawarkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kerjasama PLUS dengan Microsoft di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai kesediaan PLUS terhadap langkah pengambilalihan konsesi oleh kerajaan.

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam kenyataan sebelum ini, Khazanah menyerahkan kepada PLUS untuk mengendalikan rundingan terbabit sekiranya kerajaaan bercadang untuk mengambil alih lebuh raya bertol kendalian PLUS.

Khazanah bagaimanapun akan memberi nasihat kepada PLUS dari semasa ke semasa jika wujud sebarang perkembangan berkaitan.

Pada Sabtu lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah memberi surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya bertol dengan harga 'enterprise value' atau nilai wajar perusahaan sebanyak RM6.2 bilion yang boleh menjimatkan wang pembayar cukai sebanyak RM5.3 bilion dari segi bayaran pampasan kepada pemegang konsesi terbabit.

Empat lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619