NASIONAL

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

15 Jun 2019, 5:09 AM
14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

JOHOR BAHRU, 15 JUN: Sebanyak 14 syarikat tempatan didapati memenuhi kriteria untuk mengeksport durian Musang King Malaysia dalam bentuk buah sempurna ke China.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya dan juga Kementerian Kesihatan telah membuat penilaian dan mendapati syarikat-syarikat ini memenuhi kriteria dan piawaian yang telah ditetapkan oleh General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC).

“Daripada 14 syarikat ini, tujuh telah dilawati GACC. Syarikat yang dipilih untuk mengeksport durian Musang King untuk fasa pertama ini akan diumumkan Isnin ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Pulai anjuran Pakatan Harapan Parlimen Pulai, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, ini merupakan satu kejayaan besar bagi kementeriannya dan kementerian berkaitan memandangkan keputusan untuk mengeksport buah berkenaan dalam bentuk buah sempurna, diperoleh dalam masa yang singkat.

Bagaimanapun, beliau berkata masih ada peluang bagi syarikat-syarikat yang tidak terpilih untuk mengeksport durian berkenaan sekiranya tidak terpilih pada fasa pertama ini.

Selain eksport durian Musang king secara buah sempurna, beliau berkata potensi eksport durian turut boleh diperkembangkan dengan lebih meluas melalui produk hiliran berasaskan durian memandangkan pasaran China yang besar dan luas.

Meskipun begitu, kementerian juga akan memastikan bekalan untuk pasaran tempatan tetap terpelihara.

Sementara itu, Anggota Parlimen Pulai itu berkata kesemua bekalan barangan kawalan sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai adalah mencukupi.

Ini adalah hasil kerjasama dua kementerian serta agensi-agensi berkaitan yang bertungkus lumus dalam memastikan bekalan barangan makanan adalah mencukupi selain harga kawalan sentiasa diikuti, katanya. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619