AGENDA

Jualan terus BPR bantu rakyat nikmati harga rendah

21 Okt 2019, 3:45 AM
Jualan terus BPR bantu rakyat nikmati harga rendah

SHAH ALAM, 21 OKT: Jualan secara terus menerusi kolaborasi bersama beberapa agensi pertanian membantu rakyat menikmati tawaran harga rendah antara lima hingga 30 peratus apabila berbelanja di program Bazar Peduli Rakyat (BPR).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, mekanisme itu bertujuan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup kerana harga ditawarkan BPR lebih rendah berbanding di pasar awam setempat.

"Jualan terus stok bekalan makanan, produk Agromas, sayur-sayuran, buah-buahan dan produk industri asas tani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui Pusat Operasi FAMA.

"Produk ikan dan hasilan laut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pula melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) manakala jualan terus ayam, daging dan telur oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kawasan setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, jualan komoditi terpilih oleh usahawan secara terus serta jualan 'Happy Hour' pada harga borong turut membantu pengguna mendapatkan harga rendah.

Sehingga 27 September lalu, BPR telah diadakan 17 kali di sembilan lokasi antaranya dengan jumlah pengunjung seramai 25,402 orang dan anggaran nilai jualan RM700,000.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619