BERITA UTAMA

Azmin: Komplot jahat musnahkan karier saya

12 Jun 2019, 9:35 AM
Azmin: Komplot jahat musnahkan karier saya

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mengaitkan dirinya dalam satu video lucah.

Beliau berkata, tuduhan itu bersifat jahat, kejam dan mahu menjatuhkan karier politiknya.

“Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya,” katanya dalam kenyataan.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohamed Azmin:

Saya merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah.

Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam.

Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya.

Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadhan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

Saya mengutuk sekeras-kerasnya gutter politics.

Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni.

Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Saya akan menggunakan segala kaedah undang- undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.

Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619