NASIONAL

Pelajar dikhuatir lemas semasa mahu bergambar di sungai

12 Jun 2019, 4:56 AM
Pelajar dikhuatir lemas semasa mahu bergambar di sungai

KUANTAN, 12 Jun : Seorang pelajar tingkatan satu yang berhasrat mengambil gambar di kawasan sungai, dikhuatiri lemas di Sungai Jeram Besu di Dong, Raub semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa, Muhamad Muzzafar Shah Mohamad Rozi, 13, dipercayai lemas setelah tiba-tiba terjun ke sungai berkenaan setibanya di sana dalam kejadian 4.45 petang.

Katanya, mangsa yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sega, Raub difahamkan ke sungai itu bersama dua lagi rakan.

“Mangsa dikatakan terus terjun ke dalam sungai yang dianggarkan sedalam lima kaki dan mempunyai pasir jerlus.

“Dua rakan mangsa mendakwa melihat mangsa lemas dan mereka telah cuba untuk menyelamatkannya, bagaimanapun gagal,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata polis hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh penduduk kampung berkenaan pada 6.20 petang semalam, dan operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira 7 petang.

Bagaimanapun, operasi yang melibatkan dua pegawai dan 12 anggota polis dan bomba dengan bantuan 40 penduduk kampung hanya dijalankan di tebing sungai kerana cuaca mulai gelap.

Wan Mohd Zahari berkata operasi disambung pagi ini dengan bantun Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin dari Temerloh. -BERNAMA

Kredit Foto: Facebook Balai Bomba Dan Penyelamat Raub

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619