NASIONAL

Aidilfitri: Umat Islam bersatu tolak fahaman ekstrem - Shafie

4 Jun 2019, 9:35 AM
Aidilfitri: Umat Islam bersatu tolak fahaman ekstrem - Shafie

 

KOTA KINABALU, 4 JUN: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, umat Islam perlu lebih peka dan bijak dalam menyaring maklumat, serta mendalami tafsiran yang murni dan benar bagi mengelakkan wujudnya fahaman ekstrem atau gerakan keganasan.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini berhadapan dengan cabaran keselamatan dan keamanan dengan wujudnya fahaman ekstrem, ajaran salah dan gerakan keganasan.

“Justeru itu umat Islam perlu lebih peka dan bijak, dalam menyaring maklumat…Sungguhpun negara kita Malaysia berada dalam kedudukan ketiga paling aman di rantau Asia, namun untuk mengekalkan keadaan tersebut, bukanlah semudah yang disangka,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019.

Pada masa sama, Shafie menyeru agar rakyat dapat mengeratkan lagi perpaduan pelbagai kaum di negeri ini.

“Sempena ketibaan Aidilfitri mulia yang penuh dengan kegembiraan, saya mengajak rakyat memperkukuhkan ukhuwah dan persaudaraan sesama semua.

“Ketepikanlah segala perbezaan, nikmati keharmonian sedia ada dengan budaya berlapang dada, saling berkunjungan, saling maaf memaafi, di samping menikmati juadah yang pelbagai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam menyambut kedatangan Syawal kepimpinan kerajaan negeri sentiasa peka dengan satu lagi cabaran, iaitu ketidaktentuan ekonomi global.

“Selaku kepimpinan negeri, kita mahu memastikan faedah pembangunan dan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama dan secara saksama.

“Kerajaan negeri juga terus komited menjalankan promosi produk-produk tempatan yang boleh merancakkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini. Seperti yang kita tahu sektor perkhidmatan termasuk pelancongan dan perkhidmatan kerajaan, kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619