PBT

Iftar Ala Madinah MBSA himpun lebih 2,000 orang

18 Mei 2019, 3:03 PM
Iftar Ala Madinah MBSA himpun lebih 2,000 orang
Iftar Ala Madinah MBSA himpun lebih 2,000 orang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Lebih 2,000 orang memeriahkan Program Berbuka Puasa 'Iftar Ala Madinah' dan Sembang Sahur 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, program julung kali diadakan itu meletakkan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menganjurkan acara sedemikian.

Katanya, MBSA turut bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menjayakan program terbabit.

"Kita turut menyediakan 1,200 bungkus juadah iftar manakala JAIS menyumbang 800 bungkusan secara percuma antaranya nasi arab, kurma, kuih-muih dan buah-buahan kepada pengunjung yang hadir.

"Kita optimis menerusi program sebegini ia dapat meningkatkan penghayatan ibadah di bulan mulia ini iaitu Ramadan kepada masyarakat khususnya generasi muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas solat Maghrib Berjemaah bersempena Program Berbuka Puasa 'Iftar Ala Madinah' dan Sembang Sahur 2019, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, sambutan amat memberangsangkan dan pihaknya bercadang akan menjadikan ia sebagai acara tahunan pada masa akan datang.

"Program ini juga antara sebahagian aktiviti daripada Hari Tanpa Kenderaan MBSA yang kita sering anjurkan setiap bulan dan ada beberapa komponen aktiviti acara itu turut diselitkan.

"Namun, bersempena 'Iftar Ala Madinah' ini kita menyelitkan sedikit unsur dakwah seperti Tazkirah Santai daripada PU Azman, solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah," katanya.

Terdahulu, terdapat juga kunjungan daripada pelancong luar negara hadir untuk merasai sendiri kemeriahan 'Iftar Ala Madinah' terbabit.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619