NASIONAL

MIDA bentuk pasukan khas promosi pembangunan di sepanjang ECRL

15 Mei 2019, 5:16 AM
MIDA bentuk pasukan khas promosi pembangunan di sepanjang ECRL

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menubuhkan sebuah pasukan khusus untuk mempromosi pembangunan taman perindustrian, infrastruktur, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

MIDA dalam kenyataan hari ini berkata pasukan itu ditubuhkan bagi memudahkan, menilai dan mengkaji semula pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) di sepanjang koridor ECRL.

Pasukan itu akan terbabit dalam merangka strategi pelan tindakan yang meliputi aktiviti promosi dan pertemuan serta libat urus dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk industri domestik.

Penubuhan pasukan khusus itu dibuat susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MIDA dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 25 April lepas, di Beijing yang disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang.

MIDA berkata, projek ECRL, yang akan membentuk rangkaian pengangkutan kereta api Timur-Barat, dibangunkan untuk mendorong perdagangan, logistik, import dan eksport, serta aktiviti pembangunan pelancongan di sepanjang penjajaran yang dicadangkan.

Menerusi aliran masuk pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik serta pertumbuhan berpotensi untuk sektor perindustrian, komersil dan pelancongan, kereta api akan menyumbang ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.

Projek pemangkin ini akan mewujudkan spektrum peluang perniagaan dan pekerjaan yang luas, termasuk pembangunan taman perindustrian, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang koridor ECRL.

"MIDA bersama-sama CCCC akan mempromosi EAP untuk memaksimumkan potensi kejayaannya dan menjemput pelabur tempatan dan antarabangsa untuk melabur dalam projek berkenaan.

"Kedua-dua pihak juga akan melaksanakan aktiviti kerjasama dan pembangunan kapasiti untuk menggalakkan komuniti industri dan perniagaan menganjurkan atau menyertai dialog, bengkel, seminar dan persidangan, bantuan teknikal untuk mempromosi dan memudahkan pembinaan dan latihan serta berkongsi amalan terbaik," katanya.

Maklumat berkenaan pelaksanaan EAP akan diumumkan dari semasa ke semasa, menurut MIDA.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619