RENCANA

Remaja berkeperluan khas bantu jahit baju raya

14 Mei 2019, 7:35 AM
Remaja berkeperluan khas bantu jahit baju raya

RAUB, 14 MEI: Adakah anda membenarkan seorang remaja berkeperluan khas menjahit baju raya anda?

Sekiranya jawapannya ya, Mohd Ridzuan Zakaria, 21, dari Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Gembira di sini adalah orang yang anda cari.

Mohd Ridzuan yang menghidapi masalah pembelajaran telah membantu menjahit hujung baju kurung dan baju raya dengan tangan bermula bulan Ramadan ini.

“Saya sangat gembira dapat membantu (menjahit baju). Ini adalah tugas penting,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PDK Gembira di sini hari ini.

Penyelia PDK Gembira Rosfaizah Saleh Kamal, 40, berkata mereka mula mengambil tempahan baju raya sejak bulan lepas selepas anaknya Nurul Amirah Mohd Fauzi, 21, menamatkan kursus fesyen di sebuah kolej komuniti.

Rosfaizah menambah anaknya bersetuju untuk menjahit pakaian di pusat itu kerana sering ke sana dan sudah mengenali pelajar di situ, malah anaknya percaya beberapa pelajar mungkin boleh mengasah kemahiran menjahit.

Katanya sehelai baju raya berharga RM30 hingga RM70 bergantung kepada rekaan dan kesukaran membuatnya, Mohd Ridzuan pula dibayar berdasarkan ‘kerja’ yang dilakukan.

“Saya harus mengakui apabila saya menyiarkan mengenai tempahan ini di Facebook dan kumpulan WhatsApp, saya risau sekiranya tiada seorang pun yang berminat (untuk menempah) tetapi alhamdulillah, kami menerima 17 tempahan setakat ini, bagi saya ia permulaan yang baik.

“Ia satu tugas yang mencabar pada mulanya kerana kami perlu mengajar pelajar daripada asas memasukkan benang ke dalam jarum. Daripada semua pelajar, hanya Mohd Ridzuan yang mahir,” katanya.

Rosfaizah berkata Mohd Ridzuan atau dikenali sebagai Iwan telah menguasai kemahiran asas jahitan seperti jelujur, jahitan lurus dan silang pangkah.

Bagaimanapun, katanya Mohd Ridzuan mengambil masa yang lebih panjang daripada orang lain yang normal untuk menyelesaikan sesuatu tugas kerana adakalanya mereka perlu membuka semula jahitan sekiranya ia tidak memuaskan.

“Kami perlu pastikan pelanggan gembira dengan produk kerana mereka mempercayai kami. Ada pelanggan yang membayar lebih untuk diberi kepada Mohd Ridzuan dan ada yang membelikan makanan untuk pelajar apabila mereka datang untuk mengambil tempahan baju yang sudah siap,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619