NASIONAL

Cadang beri elaun bulanan kepada penerima PJM tentera

4 Mei 2019, 8:15 AM
Cadang beri elaun bulanan kepada penerima PJM tentera

KUANTAN, 4 MEI: Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) diberikan elaun bulanan.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu adalah berdasarkan keputusan yang diperoleh daripada mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) pada Februari lepas.

"Kita akan panjangkan perkara ini kepada jemaah menteri secepat mungkin kerana berharap keputusan dapat dicapai tahun ini dan bayarannya boleh bermula tahun hadapan

“Kita berharap pemberian elaun ini boleh dimasukkan dalam peruntukan Bajet 2020," katanya pada sidang media Majlis Penganugerahan PJM kepada Veteran ATM peringkat Pahang di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad menyempurnakan istiadat pengurniaan pingat itu kepada 310 veteran ATM, selain menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM90,700 kepada 19 persatuan veteran ATM.

Beliau berkata elaun itu yang akan dikenali sebagai 'Elaun Kenangan' itu juga adalah penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan anggota tentera yang berjuang menentang komunis.

"Usaha (pemberian elaun) ini juga dapat mengurangkan jurang pencen antara veteran di samping sedikit sebanyak membantu veteran tidak berpencen," katanya.

Setakat ini, 6,781 veteran ATM menerima PJM. PJM diberikan kepada anggota ATM yang berkhidmat menentang komunis dari 1969 sehingga 1990 dan anggota pengaman dari luar negara yang berkhidmat di negara ini dari 1957 sehingga 1968.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619