BERITA UTAMA

Selangor tidak pernah mansuh SMUE

28 Apr 2019, 6:03 AM
Selangor tidak pernah mansuh SMUE
Selangor tidak pernah mansuh SMUE

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 APR: Kerajaan Selangor tidak pernah memansuhkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) seperti yang didakwa segelintir pihak, baru-baru ini.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebaliknya pengumuman pemberian baucar Jom Shopping kepada peserta SMUE adalah untuk lebih menghargai penat lelah golongan itu yang banyak berjasa kepada negeri ini.

Katanya, pemberian baucar itu bagi mengantikan bantuan khairat kematian SMUE yang hanya ditujukan kepada waris sahaja.

"Hakikatnya SMUE adalah program untuk warga emas, kita mahu menghargai mereka ketika masih hidup dan bukannya memberi sumbangan setelah mereka tiada dengan memberikan wang menguruskan jenazah dan juga keranda apabila meninggal dunia.

"Inisiatif ini diambil hasil pertemuan dengan warga emas beberapa bulan lepas, tetapi ada yang salah faham seolah-olah Kerajaan Negeri batalkan program berkenaan, sedangkan tidak," katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2018 bagi pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, buat masa ini Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM100 setahun kepada warga emas seluruh Selangor.

"Sekiranya kewangan negeri bertambah baik, kita akan tambah baik program ini pada masa hadapan.

"Ini memperlihatkan Kerajaan Selangor sentiasa prihatin kepada rakyatnya dari seawal usia kelahiran hingga ke peringkat warga emas," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian baucar Jom Shopping kepada peserta bawah SMUE bermula Oktober sebagai ganti pembayaran khairat kematian kepada waris peserta skim terbabit.

Program yang memperuntukkan RM20 juta setahun itu akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 warga emas semasa mereka masih hidup berbanding manfaat diterima mereka sebelum ini.

Program ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menghargai golongan warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri ketika mereka masih hidup.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619