BERITA UTAMA

PM hadiri sidang kemuncak meja bulat Forum Jalur dan Laluan

27 Apr 2019, 5:27 AM
PM hadiri sidang kemuncak meja bulat Forum Jalur dan Laluan

BEIJING, 27 APR: Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) kedua memasuki hari ketiga dan terakhir hari ini dengan pemimpin menghadiri sidang kemuncak meja bulat yang diadakan di Yangi Lake yang indah, di utara Beijing.

Terletak di kaki gunung Yanshan, Yangi Lake atau "Swan Lake" turut menganjurkan forum itu yang julung kali diadakan pada dua tahun lepas dan perhimpunan tahunan pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-22 pada 2014.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Kompleks Yangi Lake pagi ini dan menyertai pemimpin lain bagi sidang kemuncak meja bulat itu, dan mereka dijangka membincangkan mengenai cara untuk menggerakkan inisiatif infrastruktur ke hadapan.

Sidang kemuncak meja bulat itu terbahagi kepada tiga sesi, dengan pemimpin membincangkan isu mengenai kesalinghubungan, sinergi dasar dan pembangunan mampan berkaitan inisiatif tersebut.

Presiden China, Xi Jinping yang mempengerusikan acara utama itu, turut menyampaikan ucapan pada permulaan sidang kemuncak meja bulat itu.

Dalam ucapannya, Xi berharap kepada pelaksanaan projek Jalur dan Laluan yang berorientasikan hasil dan semua pihak yang mengambil bahagian berkongsi manfaatnya.

Pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak meja bulat itu akan mengeluarkan kenyataan bersama pada akhir acara itu.

Xi, yang mula mencadangkan dasar infrastruktur enam tahun lepas untuk menghidupkan semula laluan perdagangan Laluan Sutera yang menghubungkan Timur dan Barat melalui rangkaian landasan kereta api, pelabuhan, lapangan terbang, saluran paip dan lain-lain, turut merasmikan forum itu, semalam.

Pemimpin dari 37 negara dan 5,000 perwakilan dari 150 negara menyertai forum itu pada tahun ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619