NASIONAL

ECRL: Kerajaan pertahan hak rakyat

16 Apr 2019, 9:06 AM
ECRL: Kerajaan pertahan hak rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 APR: Keputusan kerajaan menyemak dan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah langkah tepat dalam mempertahankan kepentingan rakyat apabila mampu memberi penjimatan lebih RM21 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hakikat itu membuktikan kepimpinan kerajaan berintegriti, tegas, amalan tadbir urus baik, telus dan bertanggungjawab sekali gus mencegah ketirisan serta kebocoran dalam pengurusan kewangan negara.

Katanya, keputusan kerajaan apabila mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri seperti diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 24 Januari tahun lalu untuk tidak membenarkan pembangunan jajaran ECRL melalui kawasan Permatang Kuartza, Gombak juga adalah langkah tepat.

"Ini bermakna pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer merentasi kawasan Permatang Kuartza 'pure quartz dyke' dapat dielakkan sekali gus mempertahankan faktor budaya, warisan dan alam sekitar.

"Justeru, jajaran baharu sejauh 640 kilometer berbanding dahulu sejauh 688 kilometer ini berjaya mengurangkan kos daripada RM95.5 juta kepada RM68.7 juta setiap kilometer," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sedia maklum bantahan dan aduan dikemukakan penduduk tempatan memandangkan cadangan jajaran ECRL yang lama akan melalui kawasan hutan simpan di sempadan Selangor dan Pahang, kampung tradisi, kawasan perumahan serta komersial.

Beliau berkata, cadangan itu mengakibatkan kos pembangunan yang lebih tinggi memandangkan keperluan untuk meneroka kawasan hutan serta pengambilan kawasan komersial dan perumahan penduduk yang padat.

"Justeru saya yakin, keputusan kerajaan ini bukan sahaja dapat menjamin pembangunan prasarana sosial yang berkualiti untuk rakyat, bahkan ianya akan memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan serta membuka pelbagai peluang ekonomi dalam rantaian nilai.

"Selain itu, keazaman kerajaan meneruskan projek ini akan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta meningkatkan kadar keterhubungan (connectivity) logistik dan rakyat," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619