NASIONAL

FINAS bakal perkenal KWSP, PERKESO untuk penggiat seni

11 Apr 2019, 1:57 PM
FINAS bakal perkenal KWSP, PERKESO untuk penggiat seni
FINAS bakal perkenal KWSP, PERKESO untuk penggiat seni

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melindungi kebajikan penggiat seni bebas.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, skim itu bukan sahaja bakal menjamin masa depan pelakon tetapi juga kru produksi termasuk jurumekap, 'runner', pemandu serta penjaga busana.

“FINAS sudah ada kertas kerjanya. Perbincangan untuk mekanisme pelaksanaan caruman akan dibuat bersama kedua-dua badan terbabit. Syarat dan kaedahnya akan diberikan oleh mereka bagi mengaplikasi sistem itu dalam industri seni.

“FINAS juga akan bertemu dengan pihak pengurusan stesen televisyen dan syarikat produksi karyawan bebas ini bekerja. Ada banyak proses yang perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dijayakan,” katanya kepada pemberita sempena hari pertamanya memasuki pejabat, di FINAS hari ini.

Hans Isaac, berkata sudah tiba masanya untuk industri seni diiktiraf sebagai profesional, justeru dengan adanya kedua-dua skim terbabit, pengiktirafan itu akan dapat direalisasikan.

Katanya, pengenalan skim terbabit adalah satu daripada 15 manifesto yang dirangkanya bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang baru sebulan memegang jawatan itu.

[caption id="attachment_311928" align="alignnone" width="1280"] KUALA LUMPUR, 11 April -- Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Pelakon, penerbit dan pengarah filem, Datuk Gerald Hans Isaac (kanan) pada sidang media di Finas hari ini.
Perlantikan itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April lalu.
Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
-- fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA[/caption]

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan 14 lagi manifesto, dengan berkata, “Saya tidak mahu hanya berjanji, saya mahu jayakan sesuatu pelan itu dahulu, pastikan ia dilaksanakan dan apabila dapat keputusannya nanti, baru saya umumkan.”

Pada masa sama, Hans Isaac memberi jaminan beliau tidak akan bersikap berat sebelah dan memihak kepada kroni atau rakannya dalam memberikan sebarang dana atau geran daripada FINAS untuk produksi filem dan televisyen.

“Jika sesuatu permohonan itu membabitkan konflik kepentingan, saya akan tinggalkan mesyuarat dan biarkan lembaga pengarah membuat keputusan. Jika mereka mendapat geran daripada FINAS berdasarkan merit, tiada siapa boleh persoalkan,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang ragu dan skeptikal dengan pelantikannya Ahmad Idham, supaya memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan hasil kerja.

“Bagaimanapun, saya menerima maklum balas positif, hebat dan mengagumkan daripada pemain industri berhubung pelantikan saya sebagai pengerusi,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan pelakon, pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai pengerusi FINAS bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa Isnin lalu bagi menggantikan Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas Pemangku Pengerusi sejak lebih empat bulan lalu. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619