EKONOMI

Ekonomi dijangka berkembang sederhana kesan faktor luaran

8 Apr 2019, 5:01 AM
Ekonomi dijangka berkembang sederhana kesan faktor luaran

KUALA LUMPUR, 8 APR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada 2019 susulan faktor luaran yang mencabar, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, antara faktor itu adalah penutupan sementara operasi pentadbiran Amerika Syarikat yang paling lama dalam sejarahnya.

Katanya, ia berlangsung selama 35 hari mulai 22 Disember 2018 sehingga 25 Januari lalu yang memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara tersebut dan secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi dunia bagi suku pertama 2019.

“Selain itu ketidaktentuan dasar monetari Amerika Syarikat, kesan pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan, serta ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang masih belum berakhir turut memberi kesan kepada ekonomi dunia dan seterusnya kepada ekonomi negara,” katanya di persidangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu unjuran ekonomi Malaysia bagi tahun ini dan mekanisme penampan ekonomi yang dirancang kementerian itu bagi mengelakkan krisis ekonomi.

Mohd Radzi berkata, berdasarkan Laporan Tahunan 2018 yang diterbitkan Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara pada 2019 disokong pertumbuhan domestik terutamanya permintaan sektor swasta yang kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Penggunaan swasta disasarkan berkembang 6.6 peratus manakala pelaburan swasta pula dijangka meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2019, katanya.

Dalam masa yang sama beliau berkata kesemua sektor ekonomi utama negara turut disasar mencatat perkembangan positif dengan sektor perkhidmatan dijangka meningkat 5.7 peratus dan perkilangan pula 4.8 peratus.

Kedua-dua sektor berkenaan juga kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara iaitu dalam lingkungan 79 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan kukuh dan berkembang sekitar 4.3 peratus hingga 4.8 peratus pada 2019, katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619