NASIONAL

Agrobank sedia RM290 juta pembiayaan mikro seluruh negara

7 Apr 2019, 11:54 AM
Agrobank sedia RM290 juta pembiayaan mikro seluruh negara

KUALA TERENGGANU, 7 APRIL: Agrobank menyasarkan pembiayaan mikro sebanyak RM290 juta kepada golongan sasar, pada tahun ini berbanding hanya RM180 juta, tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, pembiayaan itu untuk membantu usahawan mengembangkan perusahaan atau projek mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Ia juga menunjukkan komitmen Agrobank bagi memberi tumpuan khusus kepada usaha pemerkasaan usahawan termasuk wanita, golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Sambutan setakat suku pertama tahun ini masih di bawah paras sasaran tetapi kita masih ada banyak masa untuk buat pelbagai perkara bagi mencapainya,” katanya selepas menghadiri program Agenda Agro:Prospek dan Peluang Dalam Sektor Pertanian, di sini hari ini.

Terengganu menjadi lokasi pertama penganjuran program tahun ini dengan tumpuan terhadap topik berkaitan cabaran yang dihadapi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Pada masa sama, Syed Alwi berkata, Terengganu mempunyai prospek besar dalam bidang pertanian apabila mencatatkan pembiayaan RM448.03 juta tahun lalu, iaitu peningkatan 25.39 peratus berbanding tahun sebelumnya sekitar RM334.25 juta.

“Tahun ini, kita sasarkan pertumbuhan pembiayaan RM110 juta bagi Terengganu yang tertumpu kepada sektor komersial, korporat dan pengguna.

“Pembiayaan kita akan diagihkan kepada sub sektor pertanian seperti perikanan, ternakan ayam daging, minyak kelapa sawit, buah-buahan dan sebagainya,” katanya.

Agrobank yang dahulunya dikenali Bank Pertanian bakal meraikan ulang tahun jubli emas tahun ini dan mempunyai 192 cawangan di seluruh negara yang menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan dalam bidang pembiayaan korporat, komersial dan mikro. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619