GLOBAL

20,000 pelarian di Zimbabwe terjejas siklon Idai - PBB

1 Apr 2019, 2:30 AM
20,000 pelarian di Zimbabwe terjejas siklon Idai - PBB

HARARE, 1 APR: Sekurang-kurangnya 20,000 pelarian di Zimbabwe telah terjejas oleh Siklon Tropika Idai yang berbahaya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad.

"Kami mempunyai sekurang-kurangnya 20,000 pelarian dan pencari suaka di Kem Pelarian Tongogara berhampiran sempadan Mozambique yang telah terjejas, yang menyaksikan sejumlah 5,300 orang terjejas teruk selepas 1,060 rumah musnah," kata wakil bagi Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) di Zimbabwe Robert Tibagwa di sini semasa penyerahan sejumlah 80 tan metrik barangan yang disumbangkan kepada kerajaan negara itu.

Kem Pelarian Tongogara terletak di pinggir pekan Chipinge, yang musnah teruk selepas dilanda siklon tropika itu.

Pencari suaka dan pelarian dari Mozambique, Rwanda, Republik Demokratik Congo serta Somalia kini ditempatkan di Kem Tongogara.

Tibagwa juga berkata, infrastruktur air dan sanitasi telah musnah dengan tandas serta lubang gerek ditengelami air, yang menyebabkan berlaku pencemaran dalam bekalan air minuman.

Dianggarkan bahawa sejumlah 90,000 orang kehilangan tempat tinggal di sembilan daerah terutama di bahagian timur negara itu, dengan lebih 200 orang maut manakala kira-kira 300 lagi hilang dan 250,000 terjejas secara keseluruhan.

UNHCR adalah sebahagian daripada pasukan kemanusiaan yang bekerja rapat dengan kerajaan Zimbabwe bagi memastikan orang ramai menerima bantuan dan perlindungan daripada pelbagai risiko serta bahaya.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619