SELANGOR

Jabatan Kesihatan Selangor rampas produk kosmetik RM6.2 juta

27 Mac 2019, 7:53 AM
Jabatan Kesihatan Selangor rampas produk kosmetik RM6.2 juta

SHAH ALAM, 27 MAC: Jabatan Kesihatan Selangor berjaya merampas pelbagai produk kosmetik yang tidak didaftarkan dianggarkan bernilai RM6.2 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang, di Klang, dekat sini kelmarin.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, serbuan di sebuah gudang yang menyediakan khidmat logistik di Taman Perindustrian Air Hitam, pada 11 pagi Isnin itu dijalankan oleh enam orang pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor selepas mendapat aduan orang awam.

"Dalam serbuan ini, sebanyak 28 jenis produk kosmetik yang diimport dari negara jiran dan tidak bernotifikasi dianggarkan bernilai RM6.2 juta tdirampas.

"Penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya" katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan tidak menggunakan produk tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan.

“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik menerusi laman npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400, orang ramai juga digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan produk meragukan sebagai usaha bersama kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, aduan dan maklumat turut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi KKM melalui www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di laman moh.spab.gov.my. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619