NASIONAL

PRK Semenyih bakal curi perhatian dunia

1 Mac 2019, 2:55 AM
PRK Semenyih bakal curi perhatian dunia
PRK Semenyih bakal curi perhatian dunia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 1 MAC: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berpendapat, Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih akan diperhatikan dunia selepas mempertaruhkan calon muda di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Tun M yang juga Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) itu adalah hero yang lantang dalam menyentuh isu berkaitan Palestin dan sentiasa membela nasib rakyat di negara terbabit.

Malah katanya, gambar Perdana Menteri ketujuh itu antara yang paling popular dipamerkan di negara berkenaan.

“Peranan beliau (Tun M) di peringkat antarabangsa amat dikagumi sejak dahulu hingga sekarang. Bukan senang untuk mencari pemimpin seperti ini di dunia.

“Pemimpin ini yang pernah menaikkan Malaysia pada suatu ketika dahulu menjadi Harimau Asia (dan) sekarang ‘champion’ negara Palestin, jadi mustahil calonnya boleh kalah di Semenyih.

“Saya yakin semua kaum di DUN Semenyih termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli akan mengundi PAKATAN dan tidak akan menolak calon BERSATU itu. Jadi, kita semua perlu bekerja kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PAKATAN), di Perkarangan Tesco Semenyih, di sini, malam tadi.

Terdahulu, PRK Semenyih meletakkan calon muda yang juga anak Jati kawasan berkenaan, Muhammad Aiman Zainali bagi mengisi kekosongan kerusi DUN terbabit susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Aiman, 30, bapa kepada seorang anak, kini bertugas sebagai seorang jurutera dan juga Bendahari BERSATU bahagian Hulu Langat.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK masing-masing di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619