Konflik global, cuaca panas: Kerajaan perkukuh jaminan bekalan makanan

24 Mac 2026, 11:37 AM
Konflik global, cuaca panas: Kerajaan perkukuh jaminan bekalan makanan

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama-sama agensi berkaitan sedang memperkukuh langkah kesiapsiagaan bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara susulan konflik geopolitik di Asia Barat serta cuaca panas ketika ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tumpuan diberikan kepada pengurusan bekalan yang lebih cekap, pengukuhan rantaian agromakanan serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi meminimumkan kesan faktor luaran terhadap pasaran dalam negara.

Beliau berkata ketidaktentuan landskap global berikutan konflik geopolitik di Asia Barat berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global melalui peningkatan harga minyak dan kos logistik yang akhirnya mempengaruhi harga makanan.

"Dalam masa yang sama, negara turut berdepan dengan cabaran cuaca panas dan perubahan iklim yang boleh menjejaskan produktiviti sektor pertanian serta pengeluaran makanan domestik," katanya menerusi catatan di Facebook.

Selain itu, Mohamad memberikan jaminan bekalan makanan keperluan sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini kekal stabil dan mencukupi serta mampu diakses pada harga yang kompetitif.

Beliau berkata kejayaan tersebut hasil kerjasama bersepadu antara KPKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), agensi kerajaan serta pihak industri yang memastikan bekalan makanan negara terus mencukupi dan stabil.

"Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi, stabil dan mampu diakses oleh rakyat dalam apa jua keadaan," katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk pemain industri, petani, penternak serta pengguna untuk terus memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh sistem makanan negara agar kekal berdaya tahan dan mampan.

"Insya-Allah, dengan kesiapsiagaan dan kerjasama semua pihak, kita akan terus dapat melindungi keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619