BERITA UTAMA

Syarikat China labur RM1.2 bilion bina kilang kertas di Selangor

26 Jan 2019, 3:54 AM
Syarikat China labur RM1.2 bilion bina kilang kertas di Selangor
Syarikat China labur RM1.2 bilion bina kilang kertas di Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 JAN: Syarikat pengeluar kertas terkemuka China, Zhejiang Jingxing Paper Joint Stock Co Ltd (Zhejiang Jingxing) bercadang melabur RM1.2 bilion (AS$299.4 juta) bagi membina kilang pengeluaran kertas papan pulpa dan kertas pembungkusan, di Selangor.

Zhejiang Jngxing dalam kenyataan di Facebook berkata, pihaknya bercadang untuk membina kilang pengeluaran kertas papan pulpa dengan kapasiti tahunan 800,000 tan dan 600,000 tan bagi kertas pembungkusan.

Katanya, kilang terbabit yang akan terletak 43 kilometer dari Pelabuhan Klang dan 52 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka dibangunkan dalam dua fasa.

"Pembangunan akan dibuat dalam dua fasa selama empat tahun dengan fasa pertama pembinaan merangkumi 800,000 tan pengeluaran pulpa, manakala fasa kedua membabitkan pembangunan barisan pengeluaran 600,000 tan kertas pembungkusan.

“Projek ini untuk mengeluarkan kertas papan pulpa dan kertas pembungkusan daripada kertas sisa buangan yang diimport dari Amerika Syarikat.

“Terdapat 800,000 tan plat pulpa dan 600,000 tan kertas mentah termasuk 355,000 tan kadbod dan 245,000 kertas beralun,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, kilang berkenaan dibina di luar negara bagi menyelesaikan dilema bahan mentah yang diimport dan memecahkan halangan pengembangan berskala syarikat berkenaan.

Katanya, pembangunan kemudahan pengeluaran di luar negara juga bagi memperluaskan pasaran produk dan meningkatkan daya saing syarikat.

"Kita akan melabur dana sendiri sebanyak RM413 juta (AS$100 juta) berdasarkan kemajuan pelaksanaan projek, manakala bakinya akan dibiayai melalui pinjaman bank.

"Kita juga bercadang untuk menggunakan dana dalaman dan luaran bagi membiayai pembinaan kilang di Malaysia. Selain kelulusan dalam syarikat, kami memerlukan kelulusan pihak berkuasa Malaysia bagi membina kilang berkenaan," katanya.

Sementara itu, Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari melalui ciapan ringkas di Twitter berkata, pelaburan daripada syarikat yang berpangkalan di Pinghu, China itu sekali gus membuktikan bahawa Selangor menjadi destinasi utama pelabur antarabangsa.

"Kestabilan ekonomi, pentadbiran yang telus dan berintegriti serta kesentosaan negeri menjadi tarikan utama kepada para pelabur," tulisnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619