SELANGOR

Komited martabat cempuling ke peringkat antarabangsa

24 Jan 2019, 3:51 AM
Komited martabat cempuling ke peringkat antarabangsa
Komited martabat cempuling ke peringkat antarabangsa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN : Kerajaan Negeri komited mahu memartabatkan seni muzik cempuling sebagai sebahagian daripada budaya tradisional di Selangor, sekali gus dikenali hingga ke peringkat antarabangsa.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, beliau memuji inisiatif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) memperluaskan lagi seni muzik itu dalam kalangan generasi muda.

"Tahniah kepada PADAT kerana berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan seni cempuling sehingga dimasukkan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah, sekitar Selangor.

"Kita mahu lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang seni muzik cempuling ini supaya ia dapat diikuti oleh generasi, pada masa akan datang,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Alat Muzik Cempuling kepada Sekolah di Selangor di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah, di sini, semalam.

Beliau selaku Pengerusi PADAT berkata, seni muzik cempuling itu wajar diperkasa supaya ia tidak pupus ditelan arus kemodenan.

"Warisan seni ini harus disambung kerana keunikannya dalam menyebar nilai falsafah melalui lirik lagu dengan mesej mendalam sebagai peringatan kepada masyarakat," katanya.

Terdahulu, sebanyak 11 sekolah sekitar Selangor terpilih untuk menubuhkan kumpulan cempuling sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum mereka.

PADAT turut menyerahkan alatan cempuling sebagai pinjaman kepada sekolah terbabit melaksanakan aktiviti seni budaya itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619