SELANGOR

Ketua Cabang KEADILAN dinasihat tidak pilih kaum

13 Jan 2019, 9:37 AM
Ketua Cabang KEADILAN dinasihat tidak pilih kaum

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 13 JAN : Ketua Wanita KEADILAN Cabang Selangor dinasihat tidak memilih kaum dalam mencorak Malaysia baharu ke arah lebih sejahtera dan membangun.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, setiap ketua disaran menjadi pemimpin kepada semua kaum tidak kira Melayu, Cina dan India.

"Walau apa juga bangsa, dalam parti kita tetap satu entiti untuk memperjuangkan keadilan kepada rakyat seluruh negara. Jangan lihat perbezaan warna kulit sebagai penghalang, namun anggap kita semua adalah satu keluarga.

"Oleh itu, dengan minda sebegini, saya percaya wanita KEADILAN mampu mencorakkan Malaysia baharu sebagai negara inklusif untuk semua rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen Wanita Keadilan 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Haniza Talha dan Ketua Wanita KEADILAN Wilayah Persekutuan, Idawate Pariman.

Pada masa sama, katanya, wanita KEADILAN perlu memperkasakan lagi sayap wanita dalam parti demi kesejahteraan golongan terbabit, di Malaysia.

"Kita perlu pastikan pembabitan 30 peratus kepimpinan wanita sebagai pembuat keputusan diperkasa dan bukan jadikan ia sekadar retorik.

"Malah, Selangor sudah berjaya membuktikan pembabitan 13 peratus wanita sebagai pembuat keputusan apabila berjaya memperoleh kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan pelantikan hampir 30 peratus Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

Terdahulu, Konvensyen zon tengah itu turut menghimpunkan hampir 500 jawatankuasa wanita KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan bertujuan memperkenalkan saf kepimpinan wanita peringkat pusat dan negeri.

Seramai 22 Ketua Wanita Cabang Selangor turut diperkenalkan, pada konvensyen terbabit.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619