NASIONAL

Chong Wei mula turun jalani latihan

4 Jan 2019, 8:59 AM
Chong Wei mula turun jalani latihan

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Selepas lebih enam bulan 'menggantung raket', jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kembali menjalani latihan pemulihan di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Ia adalah penampilan kali pertamanya bersama kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak beliau berehat daripada menjalani rawatan kanser hidung pada Julai tahun lalu.

Chong Wei sebelum ini memberitahu beliau akan memulakan latihan lebih intensif pada Isnin ini.

Pada sesi latihan hari ini, beliau tiba di BAM pada jam 8 pagi ditemani dua jurulatih, Hendrawan dan bekas jurulatihnya, Datuk Tey Seu Bock.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali bagaimanapun enggan memberi reaksi kepada media.

Kali terakhir penampilannya adalah pada Kejohanan Terbuka Indonesia yang menyaksikan beliau tewas pada pusingan separuh akhir kepada Kento Momota dari Jepun pada Julai tahun lalu.

Kemudian pemain berusia 36 tahun itu menjadi tumpuan media apabila beliau menarik diri dalam dua kejohanan besar tahun lalu iaitu Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia Indonesia kerana menghidap kanser hidung tahap satu.

Beliau kini disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek berkata, beliau gembira melihat anak didiknya itu kembali bersemangat dan ceria menjalani pemulihan hari ini.

Jelasnya, BAM memberi kebebasan kepada Chong Wei untuk membuat keputusan mengenai latihan dan kejohanan yang akan disertainya pada tahun ini.

"Saya tidak mahu mengganggu penampilan beliau. Saya rasa belum masanya lagi untuk berbincang secara lanjut mengenai persiapannya. Apa yang saya lihat tadi dia datang untuk melakukan pemanasan badan di gimnasium sahaja," katanya.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619