AGENDA

BAM umum Herry Iman ketua jurulatih beregu lelaki negara

11 Jan 2025, 7:42 AM
BAM umum Herry Iman ketua jurulatih beregu lelaki negara

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Teka-teki mengenai ketua jurulatih beregu lelaki terjawab hari ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Herry Iman Pierngadi membimbing skuad kebangsaan berkuat kuasa 1 Feb ini.

Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam berkata pelantikan legenda beregu Indonesia yang lebih dikenali Herry IP bagi menggantikan Tan Bin Shen, dengan kontrak empat tahun bersama skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Jawatan ketua jurulatih beregu lelaki negara sebelum ini kosong selepas Bin Shen memilih haluan baharu untuk berhijrah ke Hong Kong.

“Beliau akan meneliti pemain di bawah kendaliannya terlebih dahulu, memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing, dan perkara sama dilakukan terhadap jurulatih yang akan bekerja di bawah beliau.

“Saya rasa beliau perlukan masa, mungkin 10 hari atau lebih. Selepas itu baru beliau boleh sediakan perancangan. Kita tidak mahu terburu-buru, berikan masa untuk beliau lakukan perubahan atau penambahbaikan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis BAM di sini hari ini.

Subramaniam berkata masih terlalu awal untuk menetapkan indeks prestasi utama jurulatih berusia 62 tahun itu walaupun mempunyai rekod cemerlang dengan melatih juara Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).

Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky berkata beliau mengenali Herry sejak awal kariernya sebagai pemain badminton dan sentiasa mendapatkan bimbingan jurulatih berkenaan.

Justeru, beliau yakin dengan kualiti dan pengalaman luas dimiliki Herry dapat memajukan beregu lelaki negara.

Berdasarkan perbincangan awal, Rexy berkata Herry berminat untuk bekerjasama dengan juara dunia 2022 Aaron Chia- Soh Wooi Yik dan mencari jalan terbaik untuk meningkatkan prestasi gandingan keenam dunia itu.

“Saya akan bincang mengenai perancangan untuk Aaron-Wooi Yik dan juga beregu negara yang lain,” katanya.

Beliau percaya Herry dapat menyesuaikan diri dan mempunyai pemahaman lebih jelas mengenai keperluan skuad negara sekali gus membantu merealisasikan hasrat pingat emas Sukan Olimpik pertama Malaysia di Los Angeles 2028.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619