NASIONAL

Kuala Lumpur diiktiraf ibu kota buku dunia menjelang 2020

12 Nov 2018, 6:01 AM
Kuala Lumpur diiktiraf ibu kota buku dunia menjelang 2020

 

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kuala Lumpur diiktiraf sebagai ibu kota buku dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi tahun 2020.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata pengiktirafan ini diberikan kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen yang tinggi kepada aktiviti berkaitan buku, kesusasteraan, kesenian dan gerakan membaca dalam kalangan warga kotanya.

"Dengan slogan 'KL Baca: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan', Kuala Lumpur akan menggerakkan gelombang pembacaan dan gelombang keprihatinan melalui pengupayaan buku mulai 23 April 2020 sehingga 22 April 2021.

"Pelbagai aktiviti akan dijalankan termasuk pembinaan perpustakaan terapung di pinggiran Sungai Gombak, pembinaan pusat membaca di setiap pusat perumahan rakyat (PPR), dan pembinaan ‘Lorong Buku’ yang mewakili setiap kota yang pernah dinamakan sebagai ibu kota buku dunia, " katanya dalam ucapan di Majlis Penyerahan Watikah Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai ibu kota buku dunia 2020 di sini, hari ini.

Watikah pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil UNESCO Ian Denison kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dengan disaksikan oleh Khalid.

Khalid berkata sebanyak 19 buah bandar raya telah terpilih sejak tahun 2001 hingga 2019 iaitu bermula dengan Madrid sehingga yang terbaharu, Bandaraya Sharjah di Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2019.

"Kami turut berbesar hati apabila Bandaraya Sharjah mencadangkan kerjasama strategik dengan Kuala Lumpur dan berhasrat agar suatu Memorandum Persefahaman dapat ditandatangani pada 23 April 2019 untuk memperkasakan aktiviti-aktiviti pembacaan dalam ibu kota buku dunia," katanya.

Katanya, selaras dengan aktiviti pembacaan buku dalam kalangan warga PPR, pihaknya menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM350,000 bagi menambah sekurang-kurangnya sebuah Mini Terminal Sejahtera (Mints) di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

"Pembukaan pusat yang dimulakan sejak 10 tahun lalu itu berkesan dalan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada anak-anak di projek perumahan rakyat DBKL untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran setiap hari," katanya.

Sementara itu, Khalid dalam sidang media berasingan berkata pihaknya akan meneliti cadangan daripada penduduk dan peniaga Selayang yang mahu projek pembinaan Pusat Penyembelihan Ayam bersepadu di Pasar Borong Harian Selayang dipindah ke kawasan baharu.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619