NASIONAL

Shafie Apdal kekal Ketua Menteri Sabah

7 Nov 2018, 10:15 AM
Shafie Apdal kekal Ketua Menteri Sabah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini memutuskan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah kekal dan sah.

Hakim, Datuk Yew Jen Kie berpendapat mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kehilangan majoriti selepas enam anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) berpindah sokongan kepada Mohd Shafie.

Beliau juga memutuskan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menjalankan kuasanya di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah untuk melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu selepas mendapati Musa tidak memperoleh majoriti ADUN.

"Menurut Perkara 7(1) Perlembagaan Sabah, Musa wajib meletak atau mengosongkan jawatan selepas kehilangan majoriti.

"Atas sebab di atas, saya menolak saman pemula plaintif (Musa) untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri," katanya dipetik Bernama.

Beliau turut memerintahkan Musa membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Mohd Shafie dan Juhar.

Keputusan itu dibuat Yew selepas mendengar hujah daripada peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S Vanugopal yang mewakili Musa, Datuk Douglas Lind mewakili Mohd Shafie manakala Setiausaha Agung Negeri, Datuk Zaleha Rose Pandin hadir untuk Juhar, pada 24 Oktober lalu.

Pada 17 Mei lalu, Musa memfailkan saman terhadap Mohd Shafie tetapi menariknya semula.

Namun pada Jun lalu, beliau memfailkan saman pemula yang meminta pengisytiharan, antara lain dari mahkamah bahawa dia adalah Ketua Menteri Sabah yang sah sebagaimana dilantik, pada 10 Mei oleh Yang di-Pertua Negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619