PBT

Model perkampungan Orang Asal Temuan jadi tarikan pelancong

22 Okt 2018, 2:49 AM
Model perkampungan Orang Asal Temuan jadi tarikan pelancong

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Rumah Contoh Tradisional Orang Asal Kaum Temuan menjadi mercu tanda ikonik, di Perkampungan Orang Asal Sungai Rasau Hilir Batu 14, Puchong, di sini, sebagai tarikan buat pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

Terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), ia antara lokasi yang pasti menjanjikan pengalaman baharu dan bermakna kepada orang ramai untuk melihat secara lebih dekat suasana kehidupan sebenar masyarakat peribumi, di negeri ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya turut membantu penduduk orang Asal di kawasan terbabit menerusi projek naik taraf perkampungan untuk dijadikan produk pelancongan baharu.

Katanya, kerja pembinaan rumah contoh itu membabitkan peruntukan RM8,000 daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.

"Ini adalah kerana Lokasi perkampungan orang Asal terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Kuala Lumpur.

"Malah, kedudukannya sangat strategik dan mempunyai akses mudah untuk ke tempat itu menggunakan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)," katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, pihaknya turut menjalankan kerja menaik taraf membabitkan pemasangan lampu jalan, di perkampungan itu.

"Selain itu, kerja baik pulih padang bola dibuat dengan penambahan semula rumput.

"Kita juga mengadakan Program Jalinan Kasih yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan memberikan sumbangan barangan keperluan harian kepada keluarga orang Asal di Sungai Rasau Hilir," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap masyarakat akan lebih menghargai kebudayaan dan kesenian kaum orang Asal di Malaysia, seterusnya dapat melahirkan perpaduan kaum selaras hasrat MPSJ melahirkan masyarakat madani, pada masa hadapan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619