GLOBAL

Tawaran Trump ditolak

23 Ogos 2018, 6:27 AM
Tawaran Trump ditolak

RAMALLAH, 23 OGOS: Tawaran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam yang berhasrat memberikan ‘sesuatu yang bagus’ sebagai pertukaran mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, ditolak pemimpin Palestin.

Pegawai kanan Palestin, Ahmad al-Tamimi berkata, gesaan Trump untuk satu perjanjian damai Israel-Palestin adalah mustahil tanpa ‘mengiktiraf Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara Palestin.’

Bercakap kepada agensi berita rasmi Palestin, WAFA, beliau menambah, keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada Disember lalu dan memindahkan kedutaan AS ke bandar itu mencetuskan kemarahan penduduk Palestin.

Memetik laporan Berita Harian, rentetan itu, katanya kepimpinan politik bertindak memutuskan hubungan dengan pentadbiran Rumah Putih.

Pembukaan kedutaan AS pada 14 Mei lalu menyaksikan bantahan besar-besaran dan pertembungan di sempadan Gaza dengan sekurang-kurangnya 63 maut akibat ditembak Zionis.

Bercakap kepada media di AS kelmarin, Trump sekali lagi mempertahankan tindakan itu, mengatakan beliau memudahkan rundingan akan datang.

“Jika ada perdamaian, ingat apa yang saya katakan, dengan Palestin adalah sesuatu yang baik untuk dilakukan kerana kami menariknya dari meja perbincangan kerana setiap kali rundingan damai, mereka tidak pernah melepasi Baitulmaqdis.

“Anda tahu, dalam rundingan akan datang, Israel perlu membayar harga yang tinggi kerana mereka menang perkara amat besar. Kini Baitulmaqdis di luar perbincangan, tiada apa untuk dirundingkan. Namun Palestin akan mendapat sesuatu yang amat bagus kerana ia giliran mereka seterusnya,” kata Trump dalam satu perhimpunan di Virginia Barat.

Tindakan itu secara besar merumitkan usaha pentadbiran Trump untuk menjadi orang tengah apa yang digelarnya ‘perjanjian terbaik’ oleh kerana Palestin tidak lagi menerima campur tangan AS.

Bercakap di Baitulmaqdis pagi semalam, penasihat keselamatan Trump, John Bolton berkata, beliau berharap kepimpinan Palestin akan beralih daripada isu kedutaan. -AFP

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619