GLOBAL

Suhu dunia semakin panas dalam 5 tahun, cetus ribut taufan

16 Ogos 2018, 2:32 AM
Suhu dunia semakin panas dalam 5 tahun, cetus ribut taufan

PARIS 16 OGOS: Pemanasan global akibat buatan manusia dan peningkatan semula jadi suhu permukaan Bumi akan menyebabkan suhu dunia menjadi semakin panas dalam tempoh lima tahun, menurut kajian dikeluarkan semalam.

Berdasarkan laporan dikeluarkan dalam jurnal Nature Communications, peningkatan dua kali ganda pemanasan global dan ‘fenomena suhu melampau’ di permukaan air laut, akan mencetuskan ribut serta taufan.

“Fasa panas ini menjurus kepada perubahan iklim jangka masa panjang. Fasa seperti ini dijangka berterusan sekurang-kurangnya untuk lima tahun lagi,” kata penulis utama jurnal tersebut, Florian Sevellec yang juga merupakan saintis iklim di Universiti Brest di Perancis.

Sevellec dan pasukannya menangani masalah itu dengan cara yang berbeza.

Pertama, mereka memberi tumpuan kepada perubahan semula jadi suhu dunia dan kedua, menggunakan pendekatan statistik yang diperkemas daripada model iklim komprehensif untuk menjana ramalan jangka panjang.

“Kami membangunkan satu sistem ramalan antara waktu - atau jangka masa pendek - perubahan semula jadi dalam iklim.

“Untuk tempoh 2018-2022, kami mendapati anomali yang sama dengan kesan pemanasan global akibat perbuatan manusia,” kata Sevellec.

Selain itu, kemungkinan untuk gelombang panas marin atau ‘kejadian pemanasan’ laut lain dijangka meningkat sebanyak 150 peratus dalam tempoh lima tahun.

Kaedah terbaharu itu dikenali sebagai PRObabilistic foreCAST atau singkatannya PROCAST, diuji bagi membandingkan rekod suhu terdahulu dan terbukti lebih berkesan serta tepat berbanding model standard.

Ia juga boleh dijalankan dengan lebih pantas pada komputer riba, berbanding menggunakan komputer super yang memakan masa berminggu lamanya.

SUMBER: AFP

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619