SELANGOR

Zawawi fokus pembangunan awam Sungai Kandis

23 Jul 2018, 2:15 AM
Zawawi fokus pembangunan awam Sungai Kandis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 23 JUL: Pembangunan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menjadi antara fokus terpenting Mohd Zawawi Ahmad Mughni sekiranya diberikan peluang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil N.049 Sungai Kandis itu berkata, penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan kemudahan awam di Sungai Kandis dibangunkan secara holistik.

"Isu fasiliti dan infrastruktur ini sebenarnya sudah dilaksanakan dengan baik oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) sebelum ini.

"Namun selepas wujudnya beberapa penambahan beberapa kawasan yang baru dimasukkan ke dalam Sungai Kandis, kita merasakan wujud keperluan untuk meneliti beberapa perkara yang menjadi keluhan rakyat.

"Ini termasuklah isu-isu seperti masalah banjir, longkang sumbat, perparitan dan pembaikan jalan-jalan kampung yang perlu dibaiki segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Utama KEADILAN N.049 Sungai Kandis di Jalan Bukit Kemuning, semalam.

Selain itu katanya, pembangunan kerohanian membabitkan aspek kemasyarakatan Sungai Kandis turut menjadi keutamaan baginya.

Zawawi yang juga tokoh agama setempat itu berkata, fokus itu tertumpu kepada usaha berterusan memastikan amalan istiqamah terus dipraktikkan dalam urusan kemasyarakatan.

"Pembangunan masyarakat yang berteraskan kepada prinsip agama tanpa mengira sebarang fahaman agama juga perlu diberi perhatian.

"Keutamaan ini kerana prinsip kemanusiaan itu harus dibangunkan secara holistik tanpa mengejar kepada keduniaan dan kebendaan semata-mata," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619