EKONOMI

Pedagang Jepun masih utamakan minyak sawit Malaysia - MPOC

11 Jul 2018, 7:50 AM
Pedagang Jepun masih utamakan minyak sawit Malaysia - MPOC

KUALA LUMPUR 11 JUL: Para pedagang Jepun terbukti masih menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan mereka berdasarkan faktor bekalan, kualiti serta jaminan kemampanan yang boleh diharapkan selain kepentingan peranan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor dalam satu kenyataan hari ini berkata, minyak sawit Malaysia menyumbang sebanyak 71 peratus atau 502,000 tan daripada jumlah komoditi itu yang diimport ke Jepun.

"Pihak dagangan dan industri Jepun secara khususnya menghargai usaha berani Malaysia untuk menjadikan Skim Pensijilan MSPO itu sebagai mandatori menjelang Januari 2020.

"Malah, ini lebih ketara apabila pihak (penganjur) Olimpik Tokyo 2020 turut mengiktiraf MSPO sebagai antara sistem pensijilan bagi pemerolehan Minyak Sawit Mapan Yang Diperakui," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas berakhirnya acara Dialog dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Jepun anjuran MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di Tokyo pada 9 Julai 2018.

Seminar itu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan jalinan hubungan perniagaan sedia ada antara penggiat Jepun dan rakan mereka di Malaysia.

Pada masa sama, acara itu turut menjadi platform bagi membolehkan kalangan penggiat industri minyak sawit Malaysia meninjau peluang baharu menerusi inovasi dan teknologi Jepun yang berpotensi.

Menurut MPOC, pada tahun lepas, penggunaan minyak dan lelemak di Jepun meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada 2.85 juta tan berbanding 2016, manakala import minyak dan lelemak meningkat secara stabil sebanyak 5.2 peratus pada 2016 kepada 1.02 juta tan.

"Aliran ini dijangka berterusan pada masa depan seiring dengan pertumbuhan permintaan tempatan selain kepelbagaian penggunaan produk berkaitan," katanya.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619