NASIONAL

Menteri Pengangkutan tak mahu orang tunggu lama

9 Jun 2018, 3:21 AM
Menteri Pengangkutan tak mahu orang tunggu lama
Menteri Pengangkutan tak mahu orang tunggu lama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengingatkan penganjur majlis kementeriannya supaya memulakan acara mengikut masa ditetapkan tanpa perlu sebarang tempoh menunggu.

Beliau berkata, peringatan terbabit selari dengan saranan pentadbiran kerajaan baharu yang mengutamakan ketepatan masa.

"Saya dimaklumkan, perlu berada di sini pada jam 9.50 pagi. Tetapi, bila saya tengok backdrop, majlis bermula jam 9 pagi.

“Saya harap penganjur boleh memberikan masa yang sama. Jika hadirin tiba jam 9 pagi, maka beritahu supaya menteri hadir waktu yang sama. Tidak perlu tunggu lama-lama.

“Saya tidak suka orang menunggu saya lama-lama kerana seolah-olah saya membuang masa orang lain. Jadi, saya harap penganjur bila ada program bersama kita, maka tidak perlu tempoh menunggu.

“Jika semua perlu hadir jam 9 pagi, maka menteri juga kena hadir 9 pagi. Ini cara baru kita, ini kerajaan baru, menteri baru, 'style' pun baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu, di RnR Seremban, semalam.

Loke berkata, ketepatan masa adalah nilai yang diterapkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebagai menteri kabinet, saya akan berusaha menepati nilai ini iaitu kita akan menepati dan tidak mahu membuang masa.

"Saya harap, nasihat ini diterima semua pihak termasuk kakitangan kementerian dalam menganjurkan majlis, pada masa depan," katanya.

Beliau berharap, program dianjurkan kementerian atau swasta juga dapat dijalankan dengan cepat dan sederhana.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619