GLOBAL

Perdana Menteri Sepanyol tumbang undi tak percaya Parlimen

2 Jun 2018, 2:23 AM
Perdana Menteri Sepanyol tumbang undi tak percaya Parlimen

MADRID 2 JUN: Parlimen Sepanyol semalam menggulingkan Perdana Menteri, Mariano Rajoy dalam undi tidak percaya yang didorong oleh kemarahan rakyat terhadap gejala rasuah yang membelenggu parti pemerintah pimpinan beliau.

Pengunduran Rajoy membuka laluan kepada seterunya, Pedro Sanchez daripada Parti Pekerja Sosialis untuk menjadi Perdana Menteri Sepanyol yang baharu.

Seramai 180 ahli Parlimen menyokong undi tidak percaya terhadap Rajoy sekali gus majoriti mutlak, menjadikan beliau Perdana Menteri pertama yang digulingkan sejak peralihan Sepanyol kepada demokrasi pada 1977.

Pemimpin berkaca mata berusia 63 tahun itu berdiri dan berjabat tangan dengan Sanchez lalu beredar selepas keputusan dibaca.

“Adalah satu penghormatan paling besar untuk menjadi Perdana Menteri Sepanyol,” katanya.

Sanchez, 46, mengemukakan usul undi tidak percaya pada minggu lalu selepas sebuah mahkamah Sepanyol mendedahkan rasuah yang diberikan kepada bekas pegawai PP bagi mendapatkan kontrak awam dari tahun 1995 hingga 2005.

“Kuasa politik anda, Rajoy sudah berakhir,” kata Sanchez, 46, yang merupakan bekas profesor ekonomi kepada Parlimen, Khamis lalu.

Bagi menjamin undi tidak percaya itu mendapat sokongan padu, Parti Pekerja Sosialis yang cuma memiliki 84 daripada 350 kerusi di Parlimen, cuba meraih sokongan parti-parti politik lain termasuk puak pemisah Catalonia dan parti Podemos.

Sanchez juga berjanji untuk mengadakan pilihan raya baharu sekiranya usul undi tidak percaya tersebut berjaya tetapi hanya selepas beliau memulihkan institusi kerajaan di Sepanyol.

SUMBER: AFP

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619