SELANGOR

Geran Teknologi Hijau pupuk gaya hidup rendah karbon

25 Apr 2018, 7:58 AM
Geran Teknologi Hijau pupuk gaya hidup rendah karbon
Geran Teknologi Hijau pupuk gaya hidup rendah karbon

OLEH NORHAYATI UMOR

PUCHONG, 25 APR: Sejumlah RM790,000 sudah diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada kira-kira 100 projek bagi pemasangan lampu solar kawasan awam dan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di rumah kos rendah serta sederhana, awal tahun ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, peruntukan terbabit menerusi geran kepada penduduk, persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama mengenal pasti kawasan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Dalam program ini, kita mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pihak. Sebagai contoh program SPAH, kita menerima banyak permohonan menerusi Ahli Dewan Negeri untuk melaksanakan program ini di kawasan mereka.

"Ia membabitkan kawasan Puchong, Balakong dan Shah Alam. Kerajaan Negeri memberikan subsidi ini sejak tahun 2012," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pemasangan Bumbung Solar Rumah SelangorKu, di sini.

Elizabeth berkata pada tahun ini, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi meneruskan aktiviti di bawah Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018.

Terdahulu, program teknologi hijau perlu mendapat perhatian dan tindakan dari sektor awam dan swasta, sehingga tahun lalu, terdapat 109 unit pengecas kenderaan elektrik di 88 lokasi di seluruh Selangor.

Sebanyak 33 program berteraskan teknologi hijau dengan peruntukan sebanyak RM 1.37 juta dilaksanakan melibatkan pemasangan bumbung solar di bangunan, pemasangan sistem SPAH dan penyediaan laluan basikal bagi menjayakan inisiatif rendah karbon.

Pelan Tindakan Hijau Negeri Selangor 2016-2018 dilaksanakan bertujuan meningkatkan imej dan menjadikan negeri contoh dan melepori bidang teknologi di Malaysia, selain menambah baik gaya hidup rakyatnya.

Ia merangkumi tujuh tindakan antaranya perbandaran hijau melalui Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF), perolehan kerajaan hijau, pemasangan kenderaan elektrik dan penggunaan bas elektrik di PBT.

Selain itu, pemasangan bumbung solar di perumahan Rumah Selangorku, bangunan cekap tenaga dan program penghijauan Taman Industri.

=EZY=

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619