BERITA UTAMA

Selangor perintis guna tenaga solar, bantu rakyat kurangkan bil

25 Apr 2018, 4:42 AM
Selangor perintis guna tenaga solar, bantu rakyat kurangkan bil
Selangor perintis guna tenaga solar, bantu rakyat kurangkan bil
Selangor perintis guna tenaga solar, bantu rakyat kurangkan bil

OLEH NORHAYATI UMOR

PUCHONG, 25 APR: Selangor kini menjadi perintis di Malaysia apabila melaksanakan projek pemasangan panel solar di rumah mampu milik, Rumah SelangorKu di Pangsapuri Puchong Utama.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata inisiatif terbabit bertujuan membantu rakyatnya mengurangkan perbelanjaan bil elektrik, selain pemberian air percuma.

Katanya, Kerajaan Negeri turut mahu memberi kesedaran kepada pengguna terhadap aspek teknologi hijau dalam kehidupan seharian.

"Aspek teknologi hijau mendasari tumpuan Kerajaan Negeri bagi memaknai sebuah negeri termaju bagi Selangor.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, penjimatan tenaga ini akan meringankan beban pengguna membayar bil elektrik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Projek Pemasangan Panel Solar di Bumbung Rumah Selangorku, Pangsapuri Puchong Utama, di sini.

Elizabeth berkata pemasangan 154 panel solar di pangsapuri berkenan turut membabitkan kawasan sekitar termasuk lampu koridor, tempat letak kenderaan, dewan dan gelanggang-gelangang sukan.

Katanya, pangsapuri itu dipilih sebagai 'pilot projek' untuk melihat keberkesanan inisiatif itu sebelum diperluaskan di semua Rumah SelangorKu.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan Kerangka Kerja Bandar Raya Rendah Karbon (LCCF).

Katanya, enam PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) melaksanakan kerangka kerja itu.

"Kerajaan Negeri komited menurunkan 45 peratus intensiti pelepasan karbon menjelang 2019, selain mensasarkan Green Building Index Certificate Affordable Homes.

"Untuk menyokong usaha ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM300,000 bagi memasang tenaga solar di rumah mampu milik ini," katanya.

Pangsapuri itu dijangka siap hujung tahun ini dengan jumlah unit sebanyak 1,162.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melancarkan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Selangor 2016-2018 ke arah pembangunan ekonomi mampan sebagai usaha bagi memastikan Malaysia dapat mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619