BERITA UTAMA

MITS Pandan perkukuh institusi pendidikan aliran agama Islam

8 Apr 2018, 7:08 AM
MITS Pandan perkukuh institusi pendidikan aliran agama Islam
MITS Pandan perkukuh institusi pendidikan aliran agama Islam
MITS Pandan perkukuh institusi pendidikan aliran agama Islam

OLEH AFIX REDZUAN

PANDAN INDAH, 8 APR: Kerajaan Negeri terus memperkukuh institusi pendidikan aliran agama Islam dengan penubuhan sebuah lagi Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) Pandan, Daerah Hulu Langat.

Bersebelahan Masjid Al-Azim Pandan Indah, MITS ini dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 7.4 ekar dengan kos pembangunan ditampung sepenuhnya Kerajaan Negeri berjumlah RM29 juta.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata, permintaan kemasukan pelajar ke dalam bidang aliran agama semakin meningkat dan Kerajaan Negeri sedaya upaya memenuhi keperluan itu dengan matlamat melahirkan modal insan berkualiti.

“Pendidikan aliran agama kini mendapat permintaan yang semakin tinggi.

“Maahad Integrasi turut menyumbang kepada pembangunan modal insan dalam melahirkan individu berketerampilan bagi menghadapi ujian getir masa kini.

“Saya harap MITS dapat menyuntik dinamik baru kerana bagi kita (Kerajaan Negeri) sektor pendidikan adalah sebuah pelaburan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah MITS Pandan di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz dalam taklimatnya berkata, komponen MITS ini terdiri daripada blok akademik dan pentadbiran empat tingkat, blok asrama perempuan tiga tingkat, asrama lelaki tiga tempat dan sebuah dewan makan beserta blok-blok sokongan.

“Objektif utama pembangunan projek ini adalah bagi menyediakan kemudahan prasarana kepada pelajar dan pengajar serta kakitangan supaya proses pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan selesa.

“Ini selaras dengan matlamat melahirkan golongan da’i, ulama dan umara’ yang mahir dalam bidang sains serta teknologi,” katanya.

Menurutnya, projek ini dijangka siap dalam tempoh 130 minggu dengan tarikh siap semasa pada 21 Mei 2020.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan sumbangan bantuan pembangunan dan baikpulih masjid, surau serta madrasah.

Sumbangan hampir RM300,000 kepada enam buah institusi diberikan menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) manaka Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada 10 buah masjid bagi Daerah Hulu Langat.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619