SHAH ALAM, 28 APRIL: Atlet Selangor terus menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, walaupun timbul isu penangguhan sebelum ini.
Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata sesi latihan tidak pernah dihentikan kerana pembangunan atlet bersifat berterusan dan bukan hanya tertumpu kepada SUKMA.
"Mereka juga perlu menyertai beberapa kejohanan dan sirkit lain sepanjang tahun ini termasuk di luar negara.
“Jika latihan terhenti, ini akan beri kesan kepada prestasi dan momentum mereka. Sebab itu latihan tetap dijalankan supaya mereka sentiasa bersedia dan jamin aksi terbaik,” katanya kepada Media Selangor.
Sempena edisi kali ini yang berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos, selaku tuan rumah, kontinjen Selangor menyasarkan kutipan kira-kira 80 pingat emas, melibatkan kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 474 acara dipertandingkan
“Kita harap setiap kategori sukan dapat sumbang emas. Kalau ikut kiraan mudah, ada 37 sukan. Satu sukan satu emas. Kalau satu sukan dapat dua emas, kita dah dapat lebih 60 emas tapi semua atlet, jurulatih kena mainkan peranan,” katanya.
Pada Ahad, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor memberi perkenan agar SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat selepas mendengar taklimat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dijadualkan pada Khamis, 30 April ini akan dimanfaatkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan, khususnya langkah penjimatan.
Pada 20 April, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencadangkan penganjuran temasya dwi-tahunan ini ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Sultan Sharafuddin bertitah cadangan itu dibuat berikutan penganjuran temasya dwitahunan tersebut memerlukan peruntukan tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
SUKMA edisi ke-22 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.








