Adab, perbezaan pandangan dan nilai bersama

28 Apr 2026, 10:00 AM
Adab, perbezaan pandangan dan nilai bersama
Adab, perbezaan pandangan dan nilai bersama

Saya amat sedih melihat isu kandungan di media sosial baru-baru ini yang menghina institusi diraja dan menyentuh sensitiviti masyarakat.

Perkara seperti ini bukan sahaja tidak wajar, ia mencerminkan kemerosotan adab dalam wacana awam kita.

Dalam sejarah Islam, bahkan para sahabat pernah berbeza pandangan dengan Nabi Muhammad SAW. Namun, perbezaan itu sentiasa disampaikan dengan penuh hormat, berasaskan ilmu, dan dengan niat mencari kebenaran. Bukan untuk merendahkan atau menghina.

Perbezaan adalah tanda masyarakat yang hidup dan berfikir. Tetapi hilangnya adab adalah tanda runtuhnya peradaban.

Kita bukan hanya nak kejar membina tamadun yang paling kaya, yang memiliki bangunan yang paling tinggi, yang mempunyai kemewahan dan teknologi terkini.

Kita nak kejar bina manusia-manusia yang bertamadun. Masyarakat yang berilmu dan berfikiran kritis, dalam masa yang sama boleh berdiskusi dengan penuh tatasusila dan budi pekerti.

Negara ini kita bina atas nilai-nilai yang dikongsi bersama, Rukun Negara. Kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan.

Ini bukan sekadar lafaz ikrar. Ini adalah tali yang kita pegang besama sebagai rakyat Malaysia.

Dalam dunia digital hari ini, kadang kita lupa berinteraksi sebagai manusia, lantas meninggalkan tunjang-tunjang dan maruah manusiawi dalam komunikasi.

Ayuh, bersama kita pertahankan nilai yang kita kongsi bersama, sebagai rakyat Selangor, sebagai warganegara Malaysia, sebagai manusia yang bertamadun dan bermaruah.

Anfaal Saari adalah EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619