Serangan anjing liar berulang, ADN gesa tindakan tegas

29 Apr 2026, 12:01 AM
Serangan anjing liar berulang, ADN gesa tindakan tegas

SHAH ALAM, 29 APRIL: Isu serangan anjing liar di Kampung Sungai Sekamat, Kajang semakin serius apabila kes terus berulang tanpa penyelesaian, hingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata kejadian terbaharu pada Isnin lalu melibatkan seorang ibu dan anak yang cedera selepas terjatuh ketika melarikan diri daripada sekumpulan anjing liar.

Menurutnya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku di kawasan berkenaan.

“Beberapa hari sebelum ini, ada adik-beradik dikejar anjing di tempat sama. Sekarang seorang lagi kanak-kanak jadi mangsa. Bayangkan kalau itu anak kita,” katanya.

Beliau menegaskan keadaan itu tidak boleh dibiarkan kerana laporan kejadian berlaku hampir setiap hari.

“Setiap hari ada kes. Kanak-kanak dikejar, ibu bapa pun terancam. Ini bukan perkara kecil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan bertemu EXCO Kerajaan Tempatan dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendesak tindakan lebih tegas dan segera.

Menurutnya, isu itu perlu ditangani secara menyeluruh, bukan sekadar tindakan sementara.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya satu kawasan khas di tanah kerajaan diwujudkan untuk menempatkan anjing liar secara lebih teratur.

“Kita boleh pagar kawasan itu, tangkap anjing dan letakkan di situ. Ini cara lebih sistematik dan tidak perlu bunuh haiwan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui penduduk kini semakin hilang keyakinan kerana masalah itu masih belum selesai.

“Saya sendiri rasa segan berdepan penduduk. Mereka fikir tiada tindakan diambil walaupun aduan sudah dibuat.

“Sampai bila perkara ini nak dibiarkan? Ini soal keselamatan anak-anak kita,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619