Krisis Asia Barat ubah corak pelancongan, Selangor beralih ke pasaran Asia

29 Apr 2026, 3:01 AM
Krisis Asia Barat ubah corak pelancongan, Selangor beralih ke pasaran Asia

SHAH ALAM, 29 APR: Ketegangan geopolitik di Asia Barat menjejaskan corak kedatangan pelancong ke Selangor, sekali gus mendorong Kerajaan Negeri mengalih fokus ke pasaran Asia yang lebih stabil.

EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata situasi itu menyebabkan Selangor tidak menetapkan sasaran tahunan kehadiran pelancong, sebaliknya mengambil pendekatan lebih fleksibel mengikut perubahan pasaran global.

“Sebelum ini, pelancong dari Timur Tengah terkenal sebagai kelompok yang mempunyai kuasa beli tinggi, cenderung mendapatkan produk premium serta memilih penginapan bertaraf lima bintang ketika bercuti di negara ini termasuk Selangor.

“Sudah tentu krisis di Asia Barat memberi kesan kepada kedatangan pelancong dari rantau itu. Sebelum ini mereka adalah antara segmen penting kerana perbelanjaan mereka tinggi dan memberi limpahan ekonomi yang besar kepada sektor pelancongan serta peruncitan.

“Namun dalam keadaan semasa, trend kemasukan pelancong dari Timur Tengah dilihat menurun dan kita perlu menyesuaikan strategi,” katanya dalam temu bual bersama SelangorFM menerusi rancangan Teh Tarik Kopi O.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sehubungan itu, Suee Lim berkata Tourism Selangor akan memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi merangka program promosi lebih bersasar sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tambahnya, antara pasaran utama yang diberi keutamaan ialah China, selain Hong Kong, Taiwan dan Indonesia bagi menarik lebih ramai pelancong ke Selangor tahun ini.

“Tahun Melawat Selangor 2025 merekodkan 8.42 juta pelancong, dengan 68.25 peratus merupakan pelancong domestik manakala 31.75 peratus adalah pelancong antarabangsa.

“Data menunjukkan pelancong antarabangsa yang datang pula banyak dari pasaran Asia, khususnya China dan negara jiran. Ini memberi petunjuk jelas bahawa rantau Asia mempunyai potensi besar untuk diteroka secara agresif,” jelasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619