MB: TAWAS diperkukuh, pelaburan jana RM79.5 juta

28 Apr 2026, 8:02 AM
MB: TAWAS diperkukuh, pelaburan jana RM79.5 juta

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk memastikan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) kekal mampan dengan melaksanakan pelaburan strategik bagi menjamin pembayaran kepada penerima dalam jangka panjang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak TAWAS diperkenalkan pada 2008 hingga 2020, kerajaan negeri hanya menyimpan dana tahunan antara RM30 juta hingga RM50 juta tanpa menggunakan kaedah pelaburan khusus.

“Pendekatan ini membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan dana mencukupi sehingga tahun 2026, dan alhamdulillah, penerima yang berdaftar pada 2008 kini telah mula menerima bayaran masing-masing,” katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mengenai keuntungan hasil pelaburan yang dilaburkan ke pelbagai instrumen program TAWAS yang diuruskan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi kelahiran 2008 hingga 2018.

Bagaimanapun, beliau berkata bermula 2020, Kerajaan Negeri mula memperkenalkan strategi pelaburan bagi menjamin kelestarian tabung itu, khususnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena Mesyuarat pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang kelima Belas di Shah Alam pada 28 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, melalui program Selangor Advance yang menggunakan kaedah ‘factoring’, sebanyak RM285 juta daripada tabungan TAWAS dilaburkan bagi menjana pulangan lebih tinggi.

“Kaedah ini lazim digunakan oleh kontraktor atau pengendali projek kerajaan sebagai pembiayaan jangka pendek sebelum menerima bayaran penuh, dengan margin keuntungan sekitar enam hingga lapan peratus.

“Sepanjang 2020 hingga 2025, pelaburan ini telah menjana keuntungan RM79.5 juta, dengan kadar purata margin antara 7.3 hingga lapan peratus, sekali gus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelaburan tersebut tidak terhad kepada syarikat di Selangor sahaja, malah turut melibatkan projek persekutuan, sekali gus meningkatkan daya tahan dan pulangan tabung berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan pendekatan baharu melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN Prime) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Jadi kita bagi RM500 iaitu RM100 dalam tempoh lima tahun dengan harapan ibu ayah turut menabung di masa depan kerana dalam SSPN Prime ini apabila satu-satu akaun itu capai RM1,000 PTPTN akan menambah lagi RM1,000.

Beliau berkata kadar dividen SSPN Prime yang mencecah sekitar empat peratus dilihat lebih stabil berbanding pendekatan simpanan biasa, selain mampu memupuk budaya menabung dalam kalangan keluarga.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, tetapi juga menggalakkan perancangan awal pembiayaan pendidikan anak-anak, khususnya di peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619