Anwar: Aminuddin kekal jalankan tugas menteri besar

28 Apr 2026, 6:41 AM
Anwar: Aminuddin kekal jalankan tugas menteri besar

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Anwar berkata perkara itu dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika beliau menghadap baginda semalam.

“Semalam saya menghadap Tuanku Muhriz dan menjunjung kasih atas pertimbangan baginda untuk pertamanya atas titah baginda supaya Aminuddin meneruskan tugas sebagai Menteri Besar demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.

“Keputusan setakat ini, dengan titah Tuanku yang saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan.

“Setakat ini saya telah minta Menteri Besar (Aminuddin) jalankan (tugas) seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalang, dan kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik. Tidak menyentuh sama ada institusi Raja, atau Undang, kita muliakan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di sini, hari ini.

Semalam, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN dan Setiausaha DUN.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan tidak mewujudkan sebarang implikasi lain serta menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Malah, beliau menjangkakan untuk bertemu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan perkembangan isu tersebut.

“Setakat ini tidak timbul isu bubar...yang setakat saya bincang, minta pandangan, nasihat Tuanku, dia (Aminuddin) diminta jalan terus (tugas Menteri Besar) sementara proses yang lain itu dijalankan ikut undang-undang,” katanya.

Selain mengingatkan supaya tiada yang membuat andaian mengenai kemelut negeri itu, Anwar meminta semua pihak untuk memberikan ruang bagi membolehkan rundingan dijalankan dengan baik melibatkan sebarang keputusan sistem perundangan di negeri berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619