Selangor perkukuh rantaian bekalan makanan hadapi krisis global

28 Apr 2026, 4:09 AM
Selangor perkukuh rantaian bekalan makanan hadapi krisis global
Selangor perkukuh rantaian bekalan makanan hadapi krisis global

SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor terus memperkukuh rantaian bekalan makanan dari peringkat pengeluaran hingga pengedaran bagi memastikan kestabilan harga serta bekalan mencukupi kepada pengguna.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata langkah itu diambil susulan ketidakstabilan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada pasaran global.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memantau pergerakan harga barangan secara harian.

“Kita wujudkan satu dashboard khas untuk memantau secara harian isu kenaikan harga barang terutama bahan mentah yang akan menyebabkan kenaikan berganda harga barangan.

“Kita memantau daripada sumber asal contohnya berkaitan asas tani. KPDN tidak liputi semua benda, ia hanya meliputi sesetengah aspek makanan sahaja. Harga baja, makanan ternakan, harga racun mereka tidak pantau (bukan di bawah bidang kuasa). Ini semua beri kesan langsung kepada makanan.

“Contohnya menerusi Pakej Daya Tahan Selangor untuk ternakan ayam misalnya, kita akan bantu bekalan jagung jika ada kenaikan pada makanan ternakan. Jika petani bantuan input seperti baja kerana ia adalah asas kepada semua jenis tanaman,” katanya.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan wakil rakyat Hulu Kelang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang ingin tahu langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan bukan sahaja bekalan makanan mencukupi tetapi harganya terkawal.

Menurut Izham Kerajaan Negeri tidak hanya bergantung kepada indikator Tahap Sara Diri (SSL) semata-mata, sebaliknya mengguna pakai pendekatan keterjaminan bekalan yang lebih praktikal dalam memastikan keterjaminan makanan mampan.

“Kerajaan Negeri telah mula melaksanakan Gudang Makanan Selangor (GMS) yang menyasarkan stok penimbal sekurang-kurangnya 50 peratus keperluan untuk sebulan secara berperingkat.

“Ia bersamaan kira-kira beras (24,000 tan metrik), ayam (17,000 tan metrik), ikan (18,500 tan metrik) dan telur ayam 130 juta biji.

“Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan data bagi memastikan keterjaminan makanan yang mampan,” katanya.

Sebelum ini, Izham memberi jaminan bekalan makanan untuk kegunaan kecemasan di Selangor mencukupi bagi menampung keperluan semasa.

Menurutnya, bekalan sedia ada di GMS mampu menampung keperluan kira-kira 20 peratus penduduk setiap bulan hingga akhir tahun ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan kapasiti simpanan meliputi makanan ruji dan sumber protein kepada 40 peratus keperluan bulanan menjelang tahun depan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619